Home » » Nilai Kasih Ibu Kepada Anak

Nilai Kasih Ibu Kepada Anak


Pada suatu pagi, si anak yang dalam lingkungan 10 tahun umur berlari mendapatkan ibunya yang sedang sibuk di dapur untuk memberi sepucuk surat yang ditulisnya dengan kemas. Dalam fikiran si ibu tertanya-tanya isi surat itu kerana seingatnya hari tersebut bukanlah tarikh ulang tahun kelahirannya. Biasanya si anak memberi surat cinta kasih sayang pada ibunya setiap hari ulang tahun sambil mencium pipi ibunya.

Apabila si ibu membuka surat itu, ia bertajuk "Upah Untuk Membuat Kerja". Hati si ibu sayu sekali lalu mencucur air matanya, dia sangat sedih kerana rupa-rupanya anak yang disayanginya dan dijaganya bagai "menatang minyak yang penuh" tidak pernah menghargai kasih sayang yang dicurahkan.

Sejam kemudian si anak mendekati ibunya, dengan perlahan dia bertanya, "mama sudah baca?" Ibu menjawab dengan tenang, "sayang anak mama". Jawapan itu bagi si anak sebagai tanda ibunya bersetuju dengan harga-harga kerja yang di senaraikannya. Si anak begitu rajin membuat kerja-kerja rumah sepanjang hari itu.

Apabila si anak sudah nyenyak tidur kerana penat membantu ibunya siang tadi, si ibu menulis di belakang surat yang diberi oleh anaknya. Ia bertajuk "Mama Sangat Mengasihi Mu".

Isi penuh tulisan si ibu, Mama mengandung kamu selama 9 bulan dengan percuma, kesakitan yang mama rasai sewaktu melahirkan kamu dengan percuma, menyusukan kamu dengan percuma, menjaga mu sejak lahir dengan percuma, menjaga sewaktu kamu sakit dengan percuma, membasuh pakaian kamu dengan percuma, dan mama akan terus mencurahkan kasih sayang mama kepada kamu hingga ke akhir hayat mama dengan percuma. Akhir katanya berbunyi, mama memohon maaf kepada anakku kiranya kasih sayang mama kepada mu selama ini tidak sempurna. Lalu si ibu meletakkan surat itu di sisi anaknya.

Ketika si anak bangun, dia ternampak dan membaca coretan keluhan ibunya di belakang surat yang di tulisnya lalu ia menangis dan sangat menyesal akan perbuatannya. Sambil menangis dia berlari keluar mendapatkan ibunya yang sedang menyediakan serapan pagi, lalu memeluk dan mencium ibunya dengan air mata yang bercucuran...

Moral : Pernahkan kita menghargai pengorbanan dan kasih sayang ibu yang tidak ternilai buat kita, kalau bukan si ibu siapalah kita...

1 comments: