Home » » Mamalia Marin Di Teluk Sepanggar

Mamalia Marin Di Teluk Sepanggar

http://cdn.theborneopost.com/newsimages/2013/02/T09123.jpg


KOTA KINABALU: Beberapa penduduk penempatan atas air di Kampung Gentisan, Sepanggar di sini terkejut dengan penemuan seekor mamalia marin yang dipercayai berenang lemah di perairan laut Teluk Sepanggar kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, salah seorang remaja yang dikenali sebagai Ikhwan,18, ketika ditemui berkata dia bersama beberapa rakannya sedang bersiar-siar di tebing pantai sebelum terlihat kelibat ‘berwarna hitam’ berhampiran tebing batu perairan berkenaan.

“Kami kemudiannya pergi mendekati dan mendapati ianya seakan-akan ikan paus ataupun ikan lumba-lumba.

“Saya turut mengamati bahawa terdapat luka-luka di bahagian atas badan dan muncung ikan berkenaan sebelum ia menyelam semula ke laut,” katanya.
Menurut Ikhwan, mamalia marin terbabit difahamkan berlegar-legar berdekatan sebuah bot tongkang milik penduduk kampung di situ beberapa jam sebelum kedatangan pihak berkuasa bagi operasi menyelamatkan hidupan laut itu.

Sementara itu, Pegawai Sains Institut Penyelidikan Marin Borneo dari Universiti Malaysia Sabah, Suhaimi Ahmad Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit namun berkata pihaknya masih belum mengenal pasti spesis mamalia marin berkenaan.

Katanya, sebuah pasukan dari unit penyelidikan mereka telah digegaskan ke perairan terbabit setelah menerima makluman daripada pihak Jabatan Perikanan Sabah berhubung perkara itu kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

“Setibanya kami di lokasi itu, didapati ada mamalia marin di perairan itu dan dipercayai terdapat kesan luka di badannya.

“Ketika operasi menyelamat dilakukan, kita telah cuba menangkap namun mamalia itu bertindak menyelamkan diri sehingga menyukarkan usaha kami.

“Malah kita juga telah berusaha mengiringnya untuk perairan lebih dalam tetapi ia masih enggan juga dan kembali semula ke perairan tadi,” katanya.

Suhaimi berkata, pihak Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perikanan Sabah turut berada di kawasan terbabit bagi tujuan pemantauan menyeluruh.


Sumber: (16 Feb 2013)  http://www.theborneopost.com

0 comments:

Post a Comment