Home » » 33 Suspek Sulu Ditahan Polis di Semporna

33 Suspek Sulu Ditahan Polis di Semporna

lahad datu 10 mac 2013

SEMPORNA, 10 Mac (Bernama) -- Polis menahan 33 suspek yang dipercayai melindungi dan terlibat secara langsung dengan pengganas Sulu dan juga disyaki menyalur maklumat keselamatan kepada mereka.

Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata empat daripada yang ditahan itu merupakan suspek penceroboh.


Beliau berkata kesemua suspek yang berusia 18 tahun ke atas itu ditahan di kampung pinggir bakau di Semporna merupakan warga asing dan mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu untuk disoal siasat.


"Mereka dihantar ke IPD Lahad Datu untuk soal siasat kerana ia berkaitan dengan Op Daulat," katanya kepada pemberita di Semporna, Ahad.


Beliau berkata operasi yang bermula pada 6.30 pagi dan berakhir dua setengah jam kemudian memfokuskan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan turut menahan empat suspek wanita.


Tinjauan Bernama ke lokasi operasi mendapati kira-kira 100 anggota polis dari IPD Semporna, VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am melakukan pemeriksaan ke setiap rumah bagi mencari dan mengesan suspek pengganas Sulu.


Op Daulat yang dilancar bagi memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu masuk hari keenam hari ini yang setakat ini 53 penceroboh militan dilaporkan ditembak mati.



Sejak pencerobohan militan pada 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua maut dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Simunul, Semporna sehari kemudian.


Credit to: BERNAMA

0 comments:

Post a Comment