Home » » Berita Terkini Penceroboh Lahad Datu 9 Mac 2013

Berita Terkini Penceroboh Lahad Datu 9 Mac 2013


LAHAD DATU, 9 Mac (Bernama) -- Pasukan keselamatan yakin anggota militan bersenjata dari Selatan Filipina kini bergerak dalam kumpulan kecil setelah terperangkap dalam kepungan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, kira-kira 130 km dari sini.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawalan ketat yang dilakukan di lokasi operasi sejak Op Daulat dilancarkan bagaimanapun tidak memungkinkan penceroboh bersenjata itu dapat memboloskan diri.

"Berdasarkan kejadian dan tindakan yang diambil, kami berkeyakinan besar bahawa mereka kini terperangkap di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu.

"Jadi, kami akan meneruskan kepungan dan membuat penggeledahan. Fokus kami kini tertumpu pada kedua-dua tempat dan kepungan dikekalkan bagi mengelak pihak musuh masuk semula ke Kampung Tanduo selepas melarikan diri ke Tanjung Batu," katanya dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di markas operasi Op Daulat Felda Sahabat 16, dekat sini, Sabtu.

Seorang daripada militan Sulu maut ditembak di Kampung Tanjung Batu, selepas cuba memboloskan diri daripada kepungan pihak berkuasa seorang diri dalam insiden pada pukul 8 pagi tadi.

Zulkifeli berkata pasukan keselamatan akan mengetatkan lagi kepungan di kawasan hutan dan berpaya di kedua-dua kampung berkenaan yang dikenal pasti laluan oleh kumpulan militan itu untuk meloloskan diri sebelum ini.

"Mereka tidak mungkin lepas daripada kepungan. Mereka cuma dapat keluar dari Kampung Tanduo ke Kampung Tanjung Batu melalui jalan hutan sekunder dan berpaya, bukan melalui jalan darat dan laut...jadi, kita akan perketat kepungan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata kepungan di Kampung Tanduo membabitkan jarak seluas empat kilometer persegi dan aktiviti pembersihan ke atas penceroboh bermula di situ sebelum diperluaskan ke Kampung Tanjung Batu.

Zulkifeli berkata sejak gerakan ofensif dan beberapa serangan susulan dilancarkan penceroboh kini menyembunyikan diri di dalam semak dan hutan tebal serta pokok-pokok besar, bukan lagi di dalam rumah penduduk.

Polis mengesahkan, selepas lima hari dilancarkan, Op Daulat yang membabitkan pasukan polis dan angkatan tentera berjaya membunuh 53 orang militan dengan 79 ditahan, manakala tiada anggota pasukan keselamatan yang dilaporkan cedera atau terkorban.

Credit to: BERNAMA

0 comments:

Post a Comment